Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Mayat Lelaki Mati Dipukul Ditemui Di Pantai Geliga

$
0
0

image

 

KEMAMAN – Mayat lelaki dengan kesan kecederaan di belakang kepala ditemui tertiarap di tepi Pantai Geliga, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam.

Mangsa, Razak Abdullah, 45, yang disyaki mati akibat dipukul dijumpai sepasang suami isteri yang datang bersantai di pantai itu sebelum mereka cuba mengejutkan mangsa.

Bagaimanapun selepas setengah jam, mangsa yang berstatus duda dan beralamat di Kampung Meraga Beris, Kijal, di sini, tidak menunjukkan sebarang tindak balas menyebabkan pasangan itu bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pada awalnya polis menyiasat kes itu di bawah mati mengejut bagaimanapun keputusan bedah siasat mengesahkan adanya unsur jenayah.

Katanya, bedah siasat yang siap dijalankan kira-kita jam 1.30 tengah hari tadi mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan pendarahan dalam kepala akibat hentakan objek tumpul di belakang kepala.

“Selain ada kesan kecederaan di belakang kepala, ada juga kesan darah di hidung dan telinga mangsa. Mangsa dipercayai meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam, mungkin antara jam 1 hingga 2 petang berdasarkan pada keadaan mayat sebelum dijumpai kira-kira jam 5 petang.

“Ketika mayatnya dijumpai, mangsa hanya memakai seluar jeans berwarna biru manakala bajunya ditemui tersangkut di ranting pokok yang tumbang dalam jarak lebih kurang 20 meter dari mayatnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, motosikal jenis Modenas Elit milik mangsa juga didapati berada tidak jauh dengan mayatnya dan dalam raga motosikal itu ditemui beg pinggang milik mangsa.

Mohd Said berkata, berikutan itu pihak polis ketika ini sedang melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti motif sebenar kejadian berkenaan.

Beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian itu untuk tampil menghubungi polis menerusi talian 09-8591999 untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita perlukan bantuan orang ramai dan saksi bebas dalam siasatan kes ini dan kita harap mereka yang mempunyai maklumat dapat tampil segera,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082