JOHOR BAHRU – Polis menahan sejumlah 20 wanita warganegara Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Sagu 31, Taman Daya di sini awal pagi semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, dalam serbuan pada pukul 1.40 pagi oleh pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu juga berjaya merampas sejumlah 32 bilah senjata tajam di pusat hiburan berkenaan yang disyaki turut menjadi tempat aktiviti kongsi gelap.
“Kesemua wanita yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun dan merupakan GRO di premis berkenaan.
Selain itu, turut ditangkap seorang lelaki berumur 55 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.
“Dua lelaki warga tempatan dan Thailand masing-masing berusia 41 dan 21 tahun dipercayai menjadi pengawal premis itu turut ditahan dan mereka dipercayai terlibat sebagai ahli kongsi gelap,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.