Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Hati-Hati Ketika Berada Di Taman Tasik Danau Kota

$
0
0

samun

 

KUALA LUMPUR – Penduduk diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di Taman Tasik Danau Kota di sini, berikutan beberapa kes ragut dan samun dilaporkan di kawasan berkenaan.

Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata keadaan itu berlaku kerana taman rekreasi terletak di belakang sebuah pusat membeli-belah di sini itu, belum lagi dibuka sepenuhnya kepada orang awam berikutan kemudahan masih belum siap dibina menyebabkan kawasan berkenaan sunyi.

“Walaupun taman rekreasi itu belum dibuka sepenuhnya, penduduk sering menggunakan laluan pejalan kaki di kawasan itu untuk pulang ke rumah bagi memendekkan perjalanan mereka selain untuk melakukan aktiviti senaman pagi.

“Pada Mei lepas, ada tiga kes ragut dan cedera dilaporkan di kawasan itu termasuk dua pelajar kolej swasta kerugian kira-kira RM2,000 akibat diragut sekumpulan remaja ketika dalam perjalanan pulang ke rumah melalui lorong taman rekreasi itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Tasik Danau Kota di sini, hari ini.

Beliau berkata seorang daripada mangsa turut ditetak oleh kumpulan peragut terdiri daripada lima remaja itu, sebelum dompet berisi wang RM600 dan telefon bimbit dilarikan.

“Mereka diugut menyerahkan barang-barang berharga dan jika tidak, mereka akan dicederakan dengan senjata tajam seperti pisau,” katanya.

Beliau berkata semak-samun dan tumbuh-tumbuhan yang belum dibersihkan sepenuhnya di kawasan itu menyebabkan peragut sering menyembunyikan diri untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Lampu-lampu jalan ada tetapi tidak dibuka pada waktu malam serta pintu-pintu dibiarkan terbuka kepada laluan motosikal memudahkan penjenayah untuk melarikan diri selepas merompak atau samun,” katanya.

Yew berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya membersihkan semak-samun dan menyiapkan fasa akhir kerja-kerja menaik taraf taman rekreasi itu bagi memudahkan penduduk beriadah
ataupun memendekkan masa perjalanan mereka pulang ke rumah.

“Pihak kami turut memaklumkan kepada DBKL untuk memasang tiang besi bagi menghalang motosikal masuk dan menyalakan lampu jalan di taman rekreasi itu kerana kami mahu mengehadkan kepada pejalan kaki sahaja untuk menggunakan laluan
tersebut.

“Kami turut bekerjasama dengan polis bagi membanteras kegiatan jenayah dengan memasang banner di pintu masuk taman rekreasi itu dengan disertakan talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk memudahkan orang ramai melaporkan kejadian jenayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Deputi Superintendan Ramli Kasa berkata, pada 3 Mei lalu, pihaknya menahan lima remaja berusia belasan tahun di sekitar kawasan Taman Tasik Danau Kota kerana terlibat dalam kes samun dan ragut
menggunakan senjata tajam.

Beliau berkata lima anggota polis akan melakukan rondaan pada waktu malam dan awal pagi di sekitar kawasan taman rekreasi itu.

“Kami percaya banyak lagi kes ragut dan samun yang menyebabkan kecederaan teruk masih belum dilaporkan kepada kami.

“Sekiranya mana-mana penduduk yang disamun atau dirompak, mereka harus segera menghubungi kami dan anggota polis akan tiba di tempat kejadian dalam masa 5 hingga 10 minit,” katanya. – Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082