KUALA LUMPUR – Gara-gara menunggang motosikal mengikut arah yang bertentangan dan berbahaya, seorang pembantu gerai menjual bubur dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Anizan Khairunnisa Muhamad Ruzaidi, 19, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman itu hari ini.
Gadis itu yang ditahan oleh polis ketika operasi khas Ops Roda Bersepadu, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Anak ketiga daripada 10 beradik itu didakwa menunggang motosikal mengikut arah yang bertentangan atau melawan arus dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain di Jalan Raja Laut, di sini, pada 12.20 tengah malam, 25 April lalu.
Pertuduhan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Nur Anizan Khairunnisa yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.
Pendakwaan pada hari ini dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim. – Bernama