KUANTAN 2 Jan. – Stok penyimpanan hasil bauksit di Pelabuhan Kuantan di sini yang tidak diuruskan dengan baik dikatakan menjadi antara punca kejadian air laut bertukar merah di sekitar Balok dan Pantai Batu Hitam baru-baru ini.
Ahli Majlis Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) negeri, Noor Jehan Abu Bakar berkata, hujan lebat berterusan pada Isnin lalu menyebabkan limpahan air dari longgokan bauksit berkenaan yang mengandungi logam aluminium memasuki Sungai Pengorak sebelum mengalir ke laut.
”Proses penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan itu dipercayai tidak dibuat dengan langkah-langkah keselamatan mampan untuk menghalang selut dari bahan mineral berkenaan mengalir ke longkang, sungai dan laut.
”Kami percaya lumpur daripada tempat penyimpanan bauksit itu mengalir ke sungai dan laut kita di Pantai Balok dan Batu Hitam. Keadaan ini menyebabkan air sungai bertukar kemerah-merahan dan seterusnya mengalir ke laut dengan membawa bersama lumpur dan selut bauksit tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, penduduk di sekitar Balok dan Pelabuhan Kuantan terkejut melihat warna air Sungai Balok serta air laut bertukar menjadi merah dalam tempoh satu malam, dipercayai akibat dicemari bauksit.
Tinjauan di pesisir Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok mendapati warna air laut bertukar menjadi seakan-akan air lumpur sehingga mengakibatkan kawasan pelancongan itu dilihat tidak lagi sesuai untuk sebarang aktiviti air.
Berikutan itu, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar melaksanakan pensampelan kualiti air manakala keputusan analisis kimia dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Menurut Noor Jehan, fenomena itu jika dibiar berterusan boleh mengancam ekosistem dan memberi risiko kepada kesihatan orang ramai.
”Apabila rumpai laut mati disebabkan keracunan ekoran ‘laut merah’ tersebut, akan ada organisma lain turut mati. Kesannya juga kepada penduduk setempat. Air yang mengandungi kandungan logam yang tinggi boleh menyebabkan kanser.
”Selain itu, kandungan itu juga boleh menyebabkan perubahan asid deoksiribonukleik (DNA) dan kemungkinan berlakunya mutasi pada generasi masa depan,” katanya. – Utusan