KUALA LUMPUR – Tumpuan para peminat bola sepak seluruh dunia termasuk Malaysia pastinya terarah kepada Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2016 yang membuka tirai awal pagi ini di Perancis.
Penganjuran kejohanan itu pastinya memberi peluang kepada kaki judi untuk mengatur perlawanan atau membuat pertaruhan sepanjang berlangsungnya pertandingan itu namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga memerangi aktiviti berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis akan melaksanakan operasi khas di ibu kota bagi membanteras aktiviti perjudian bermula semalam.
Tanpa mendedahkan lokasi panas yang menjadi tumpuan kaki judi bola sepak serta bilangan anggota terlibat, Rusdi berkata operasi itu akan dilakukan tanpa henti sehingga kejohanan itu melabuhkan tirainya pada 10 Julai depan.
“Pemantauan dan risikan telah bermula sejak beberapa minggu lepas di sekitar Kuala Lumpur bagi membanteras operasi ini,” katanya. – Bernama