KUALA SELANGOR – Pemilik kenderaan yang masih berdegil dan terus menggunakan lorong kecemasan akan diheret ke mahkamah berkuatkuasa serta merta, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad.
Beliau berkata, tindakan tersebut dilaksanakan mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
Menurut Ismail, hanya kenderaan penguatkuasa seperti polis dan JPJ, ambulans dan kenderaan peronda lebuhraya yang boleh menggunalan lorong kecemasan.
“Kita lihat telah menjadi amalan pemandu kenderaan menggunakan lorong kecemasan bagi mengelakkan kesesakan dan ingin cepat sampai ke lokasi, tindakan ini salah.
“Jika sebelum ini, JPJ hanya mengeluarkan saman RM300 kepada pemilik kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, namun kini kita akan mwngambil tindakan lebih tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat JPJ cawangan Kuala Selangor di sini.
Dalam kejadian Mei lalu, dua beradik yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 228, Lebuhraya Utara Selatan dekat Simpang Ampat, Melaka maut selepas dikatakan lewat mendapat rawatan ekoran beberapa kenderaan memasuki lorong kecemasan sehingga menghalang pergerakan ambulan. – K! ONLINE