Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Tahan 3 Geng Murugan Vael Curi Komponen Telekomunikasi

$
0
0

tangan-digari-ilustrasi-660x330

 

SHAH ALAM: Polis Shah Alam membanteras kegiatan curi dan niaga barangan komponen milik syarikat telekomunikasi selepas menahan tiga ahli kumpulan Murugan Vael, 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata semua suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Katanya, suspek pertama dan kedua ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis barangan lusuh di Kota Kemuning, dekat sini, jam 12.15 tengah hari. “Suspek pertama berusia 37 tahun juga adalah pemilik premis barangan lusuh itu, manakala suspek kedua berusia 40 tahun adalah pekerjanya yang berasal dari India.

“Hasil siasatan terhadap dua suspek ini membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun dan dipercayai dalang yang bertindak sebagai pencari, selain menjalankan kegiatan mencuri ‘signal transmitter’ di beberapa pencawang syarikat telekomunikasi tempatan,” katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Shafien berkata, selain menahan tiga suspek itu, polis turut merampas sejumlah besar komponen alat telekomunikasi kepunyaan pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan yang dipercayai dicuri sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Dalang kes ini ditahan reman sehingga 16 Jun, manakala dua lagi suspek yang bertindak sebagai pembeli diserahkan kepada polis Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Polis kini turut mengesan enam lagi suspek dipercayai ahli kumpulan Murugan Vael berusia lingkungan 20 tahun untuk membantu menyelesaikan kes kecurian barangan komponen yang aktif sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082