Kota Bharu: Sikap kepala batu enggan mematuhi peraturan berpakaian sopan sepanjang bulan mulia ini mengakibatkan 39 wanita tempatan dikenakan notis amaran dan enam individu lain diarah menjalani sesi kaunseling.
Mereka dikenakan tindakan itu susulan Ops Ramadan dan Aurat yang berlangsung sekitar bandar ini serta Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Operasi itu turut menyaman lima lelaki yang tidak berpuasa dan didapati membeli nasi bungkus pada jam 12 tengah hari.
Operasi berlangsung hampir tiga jam bermula jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang disertai 32 penguat kuasa agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan 11 penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Pengarah JAHEAIK Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya mengamalkan pendekatan nasihat dalam operasi itu, namun enam individu yang dikenakan saman kaunseling perlu menghadirkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan pada 2 Ogos.
“Kegagalan mereka hadir pada tarikh itu membolehkan kami mendakwa mereka di mahkamah mengikut Seksyen 5 (1) Kanun Jenayah Syariah II 1993.
“Tertakluk akta itu, kesalahan yang melakukan perbuatan tidak sopan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Atas sebab itu, kami minta mereka beri kerjasama sewajarnya,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Sebelum ini, 24 wanita diberi notis amaran dan nasihat manakala tujuh lagi diberi saman kaunseling susulan operasi sama minggu lalu.
Dalam pada itu, Che Mohd Rahim berkata, lima lelaki berusia 15 hingga 30 tahun yang dicekup ketika membeli nasi bungkus pada jam 12 tengah hari memberi alasan nasi berkenaan untuk hidangan mereka berbuka puasa.
“Mereka membeli makanan berkenaan di dua kedai di Pengkalan Chepa yang sebelum ini pernah diberi notis sama kerana menjual lebih awal pada Ramadan.
“Kedai itu disaman tahun lalu kerana beroperasi pada jam 12 tengah hari. Dia mendorong orang ramai untuk tidak berpuasa. Untuk itu notis amaran dikeluarkan dan tindakan tegas diambil sekiranya dia masih berdegil.
“Untuk lima lelaki terbabit, kita keluarkan notis saman mengikut akta sama,” katanya yang memberitahu 200 risalah diedar Bahagian Dakwah JAHEAIK sepanjang operasi, semalam.
Sementara itu, mengulas tanggapan negatif masyarakat bukan Islam terhadap operasi itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perlu ada toleransi antara orang beragama di Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
Katanya, tidak semestinya orang bukan Islam perlu menutup aurat dan berpuasa pada Ramadan, sebaliknya mereka dituntut untuk menghormati ibadat dilakukan orang Islam seperti mana orang Islam menghormati agama mereka.
“Menghormati ini luas skopnya, mereka tidak perlu turut berpuasa dan menutup aurat, tetapi cukup sekadar tidak makan di tempat terbuka dan berpakaian menjolok mata.
“Jika satu ketika dulu kebanyakan pelancong yang datang ke negeri ini, mereka berpakaian sopan walaupun tidak menutup aurat, jadi saya harap orang bukan Islam dapat berpakaian sopan pada bulan ini,” katanya.
Beliau berkata, orang bukan Islam juga tidak perlu berasa terancam dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355, apatah lagi akta itu hanya terpakai kepada orang Islam.
“Pembentangan untuk pindaannya juga bukan kerana rakyat Kelantan lemah dan banyak jenayah, tetapi untuk memperkasakan undang-undang yang berkaitan syariah.
“Saya harap mereka hormati perlembagaan dan tidak mengganggu agama lain mengamalkan ajaran agama mereka,” katanya.