GEORGETOWN: Seorang lelaki ditahan polis semalam, selepas dia disyaki memukul anaknya berusia lima tahun di kediaman mereka di Relau, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada jam 4.40 petang itu, mangsa dipukul pada bahagian belakang badan dan kaki menggunakan penyangkut baju dan rotan kerana didakwa tidak mahu mendengar cakapnya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata ibu mangsa yang mendapati anaknya mengalami kecederaan bertindak membawanya bagi mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Sabtu lalu.
Katanya, pemeriksaan doktor kemudian mendapati kesan kecederaan mangsa adalah akibat penderaan sebelum ibunya yang berusia 33 tahun dinasihat membuat laporan polis.
“Ibu mangsa membuat laporan polis hari ini sebelum suspek berusia 39 tahun ditahan di rumahnya.
Polis juga merampas rotan dan penyangkut baju yang patah dipercayai digunakan bagi memukul mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek berang kerana mangsa degil serta tidak mahu mendengar cakapnya sehingga bertindak memukul mangsa beberapa kali,” katanya dalam kenyataan.
Suspek yang direman tiga hari mulai hari ini, disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.