KINABATANGAN: Seorang pembekal telefon bimbit kerugian apabila 400 unit telefon bimbitnya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang berhampiran bulatan Sukau, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit yang dalam perjalanan pulang dari Lahad Datu ke Sandakan, mendakwa disamun tiga suspek menaiki sebuah Proton Saga berwarna hitam ketika dia membuang air kecil di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata mangsa mendakwa ketiga-tiga suspek meluru ke arahnya sebelum diarah tunduk dan diacukan parang di belakang leher oleh seorang suspek.
Katanya, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketakutan dan hanya mendengar pintu kereta dibuka serta ditutup.
“Selepas semua suspek lari ke arah Lahad Datu, mangsa memeriksa keretanya dan mendapati 400 unit telefon bimbit jenama Nokia dalam empat kotak hilang, selain beg berisi wang tunai sebanyak RM4,500 turut dilarikan.
“Mangsa memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk membuat laporan,” katanya di sini, sebentar tadi.
Sahak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan meminta kerjasama saksi yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu tampil membantu siasatan.