BALIK PULAU: Seorang pemandu pelancong dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas dakwaan membantu mengendalikan harta pengganas selama enam bulan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lisoffuan Abdullah, 37, dan dia hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azzuin Abd Moati.
Mengikut kertas pertuduhan, Lisoffuan didakwa mengendalikan harta pengganas, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari sebuah akaun bank di cawangan Bayan Lepas bagi manfaat pengganas itu antara 21 Oktober 2015 hingga 29 April 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda serta boleh dilucut hak mana-mana harta.
Tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh berikutan kes tertakluk kepada prosedur kanun jenayah. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.