SUNGAI PETANI: Dua stor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Kuala Ketil di sini, diserbu pihak berkuasa petang semalam.
Selain rampasan 496 tong gas pelbagai saiz dengan beberapa barangan lain bernilai RM238,050, pihak berkuasa turut membekukan akaun bank disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket itu dengan nilai keseluruhan RM3 juta untuk siasatan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Shahrudin Hamzah, berkata serbuan kira-kira jam 1 tengah hari semalam adalah hasil kerjasama Bukit Aman dengan diselaraskan Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), susulan risikan sejak seminggu lalu.
Beliau berkata, serbuan terbabit menyasarkan dua premis dalam jarak kira-kira 300 meter antara satu sama lain membabitkan stor, termasuk satu daripadanya tidak berlesen.
“Ketika serbuan dilakukan, kami dapati stor haram terbabit menjadi pusat aktiviti pemindahan gas dari tong domestik bersubsidi iaitu dari tong bersaiz 12 kilogram (kg) ke tong industri bersaiz 50kg.
“Ini susulan penemuan pelbagai peralatan seperti hos penyambungan, dua kampit tudung keselamatan yang ditanggalkan daripada tong gas 12kg dan beberapa peralatan lain yang mempunyai kaitan dengan operasi haram itu.
“Sebuah lagi premis yang diserbu dipercayai pemborong membekalkan tong bersubsidi bagi kegunaan sindiket terbabit,” katanya yang turut mengesahkan empat warga Myanmar dipercayai pekerja di stor terbabit dan seorang pemandu lori, ditahan untuk membantu siasatan.
Shahrudin berkata, siasatan pihaknya menganggarkan jumlah subsidi disyaki disalah guna sindiket mencecah RM100,000 dan aktiviti haram itu dipercayai dijalankan dalam tempoh yang agak lama.