KUALA LUMPUR: Gara-gara mengacukan pistol kepada empat kakitangan sebuah hotel, sekumpulan 11 penghuni sebuah pangsapuri servis dan seorang pegawai polis, ditahan dalam serbuan di Jalan Imbi, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, salah seorang penghuni yang juga suspek utama kes terbabit dilaporkan mendatangi kaunter dan menemui kakitangan hotel yang bertugas untuk menyambung sewa satu unit pangsapuri dengan kadar RM1,224,30.
Bagaimanapun, suspek dilaporkan hanya membayar RM1,100 selain turut meminta kakitangan terbabit untuk membuka akaun perkhidmatan bilik namun tidak dibenarkan kerana kekurangan wang.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali, berkata suspek yang kelihatan kecewa kemudian mengacukan pistol dipercayai jenis Walther P99 AS 9 mm, ke arah kakitangan hotel.
“Suspek berusia 20 tahun itu juga turut dipercayai mengacukan pistol ke arah tiga lagi kakitangan lain termasuk ke arah kepala salah seorang pekerja yang ditugaskan menghantar makanan dan minuman ke bilik berkenaan.
“Berikutan insiden itu, semua mangsa kemudian menghubungi polis sebelum serbuan dijalankan ke atas bilik berkenaan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan susulan, polis menahan enam lelaki dan lima wanita termasuk empat warga Indonesia dalam bilik berkenaan selain turut merampas dadah jenis syabu dipercayai digunakan penghuni bilik berkenaan.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati pistol berkenaan didaftarkan atas nama seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di salah sebuah IPD di Selangor.
“Dia kemudian dipanggil ke Dang Wangi untuk tindakan lanjut selain pistolnya turut dirampas,” katanya.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan Akta Senjata Api.