BANDAR SERI JEMPOL: Seorang peneroka berusia 59 tahun ditangkap malam tadi, selepas kerana dipercayai meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sebuah tanah rancangan FELDA di sini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata ibu kepada seorang daripada mangsa terkejut apabila diberitahu oleh anaknya kira-kira jam 7.30 malam, mengenai kejadian di kebun sawit sekitar tanah rancangan itu.
Katanya, mangsa mendakwa seorang rakannya diliwat di rumah lelaki sama dan diberi wang RM6. “Ibu mangsa bergegas membuat laporan kejadian di Balai Polis Bandar Seri Jempol, kira-kira jam 9 malam,” katanya di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, peneroka berkenaan ditahan oleh penduduk tanah rancangan itu kira-kira jam 9.40 malam sebelum diserahkan kepada polis yang tiba kira-kira jam 10 malam.
Katanya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, manakala suspek direman enam hari mulai hari ini.