SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen negeri menahan lima wanita warga asing dalam serbuan sempena Op Ikrar di sebuah premis pusat hiburan di Taman Pekan Baru di sini, awal pagi tadi.
Semua lima wanita warga Thailand berusia antara 21 dan 45 tahun itu ditahan selepas dikesan melanggar syarat pas diberi dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis berkenaan.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Mohd Shahrir Khalil, berkata ketika serbuan kira-kira jam 1.10 pagi itu, lima wanita terbabit asyik melayan pelanggan dan tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Selain memeriksa lima wanita dipercayai GRO itu, kita turut memeriksa 24 pelanggan yang berada di dalam premis.
“Lima wanita berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memberi perlindungan kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen untuk tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Semua GRO wanita yang ditahan itu kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik untuk tindakan lanjut.