Image may be NSFW.
Clik here to view.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas seorang penganggur hari ini kerana menyamar sebagai anggota polis yang sedang bertugas.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu selepas Zakaria Mustafa, 30, mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis semasa meminta seorang pekerja warga Bangladesh, Mohd Oliar Rahman menyerahkan pasportnya kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pasar Raya Mydin Jalan Silang, Dang Wangi di sini kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Zakaria menjalani hukumannya bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Jun tahun ini.
Menurut fakta kes, tertuduh meminta Mohd Oliar menyerahkan pasportnya untuk memeriksa sama ada permit kerja warga Bangladesh itu masih sah. Mohd Oliar mempunyai permit kerja yang sah sehingga 23 Nov tahun ini.
Mohd Oliar yang tidak yakin bahawa tertuduh adalah seorang anggota polis, meminta Zakaria untuk menunjukkan kad kuasanya dan beberapa minit kemudian polis tiba dan Zakaria gagal mengemukakan kad kuasa polisnya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas kesalahan itu tetapi Zakaria yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana dia mempunyai seorang bayi dalam tanggungannya. – Bernama