Kampung Gajah: Identiti mayat lelaki yang ditemui dengan keadaan tangan dan kaki diikat serta kepala ditutup kain dalam tali air di Simpang Empat, Sejagop, di sini petang kelmarin disahkan sebagai mangsa yang dilaporkan hilang di Lumut Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Aziz Hassan berkata, pengecaman dilakukan berdasarkan cap jari mangsa sepadan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain pengecaman oleh keluarga mangsa.
“Mangsa dikenal pasti sebagai ahli perniagaan Yeap Choo Sing, 41, yang dilaporkan hilang 13 Jun lalu selepas keluar dari rumahnya.
“Hasil bedah siasat yang diljalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan mendapati mangsa maut berpunca daripada kecederaan parah di kepala akibat hentakan objek tumpul, namun setakat ini senjata yang gunakan tidak ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, motif kejadian masih disiasat dan polis sedang mengenalpasti suspek yang terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ni.
Aziz berkata, mayat mangsa dituntut keluarganya pagi ini untuk urusan pengebumian.