JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan penjenayah yang aktif melakukan samun termasuk lapan warga asing dalam serbuan di Skudai, semalam.
Penahanan suspek pada jam 2.30 petang itu susulan seorang rakan mereka ditembak mati oleh polis di persimpangan jalan lama Ulu Choh-Pontian dekat sini, kerana cuba merempuh kenderaan polis kira-kira 45 minit sebelum itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata sembilan penjenayah itu yang berusia antara 22 hingga 46 tahun dipercayai dalam perancangan untuk melakukan jenayah.
“Semua suspek ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati suspek bergiat aktif menyamun individu yang keluar dari bank.
“Mereka dipercayai terbabit dalam 17 kes sejak tahun lalu yang mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM600,000,” katanya.