KUALA LUMPUR: Polis menemui semula 16 beg tangan berjenama mewah dan 18 komputer riba bernilai RM400,000 hasil kegiatan curi dengan tertangkapnya tiga anggota Kumpulan Heng, pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata suspek pertama ditahan bersama sebuah kenderaan curi pada jam 6.45 pagi Ahad lalu, kira-kira 15 minit selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini.
Dua rakan suspek yang turut menaiki kenderaan itu meloloskan diri. Bagaimanapun, katanya, polis berjaya menahan seorang daripada mereka berhampiran taman perumahan itu kira-kira enam jam kemudian dalam keadaan patah kaki kiri, dipercayai terjatuh ke longkang ketika cuba melarikan diri.
“Hasil siasatan lanjut, kita menahan suspek ketiga di Kepong pada jam 4.30 pagi hari sama (Isnin) bersama sebuah kereta jenis Toyota Camry, yang dilaporkan hilang di Bukit Raja, Klang, Selangor.
“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada rampasan beg berjenama dan komputer riba di pusat beli-belah di Jalan Imbi dan satu premis menjual komputer di Jalan Ipoh. Ini rampasan terbesar di daerah ini tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.
Sharul Othman berkata, siasatan mendapati suspek menjual beg tangan berjenama itu kepada pemilik premis sebagai barangan terpakai kira-kira separuh daripada harga sebenar di pasaran.
Katanya, semakan terhadap suspek pertama dan kedua didapati masing-masing mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, curi dan samun, manakala suspek ketiga mempunyai 16 rekod jenayah sama termasuk satu rekod buang daerah.
“Ketiga-tiga suspek berusia 35 dan 36 tahun direman lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.