Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dan terseret apabila motosikal yang ditunggang hilang kawalan di Kilometer 1.6 Lebuhraya DUKE, di sini, semalam
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Aminur Rasyiid Zainal Abidin, 30, menunggang dari Plaza Tol Duta ke Ampang dan dipercayai gagal mengawal motosikal di tempat kejadian.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, mangsa dipercayai pulang ke rumah di Taman Sri Gombak selepas kerja syif malam.
Menurutnya, motosikal mangsa gagal dikawal setiba di lorong paling kanan lebuh raya sebelum jatuh dan terseret 15 meter.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan berselekoh dan keadaan trafik lancar.
“Kawasan kemalangan tiada dalam liputan kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya dan tiada kesan perlanggaran dari kenderaan lain,” katanya.
Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.15 pagi dan pasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
“Seorang saksi mendakwa mangsa dipercayai cuba mengelak penunggang basikal yang berada di lorong kiri.
“Mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terjatuh di tempat kejadian,” katanya.