Image may be NSFW.
Clik here to view.
ALOR SETAR: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1164.5 gram, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing, ke atas tertuduh, Sarawannee Pisitsakunwong, 31, yang bekerja sebagai tukang urut, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes.
“Mahkamah beranggapan pihak pembelaan hanya melakukan penafian semata-mata dan langsung tidak menimbulkan keraguan. “Mahkamah memutuskan hukuman terbabit selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan dilakukan tertuduh,” katanya.
Tertuduh berbaju kurung ungu kelihatan sugul apabila keputusan diterjemahkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Sarawannee didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1164.5 gram di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas dan Pejalan Kaki di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada 28 April 2014, jam 3.40 petang.
Kesalahan terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Ai Cha Ran.