Tiga pekerja syarikat pengurup wang nyaris maut selepas kereta dinaiki dikepung dan ditembak di Kilometer 17.5 Lebuh raya Elite, berhampiran susur keluar Plaza Tol Putrajaya di sini, semalam.
Terdahulu, kira-kira pada jam 9.30 pagi itu, mangsa menghantar seorang rakannya ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan turut membawa wang tunai milik syarikat untuk dihantar ke Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir berkata, kira-kira setengah jam selepas itu, tiga mangsa berkenaan bertolak ke Kuala Lumpur melalui Plaza Tol KLIA dan masuk ke Lebuh raya Elite.
“Apabila tiba berhampiran susur masuk Plaza Tol Putrajaya, mereka dikepung dengan dua motosikal jenis Yamaha125Z, kereta Toyota Camry dan kereta Wira Aeroback.
“Kenderaan yang dinaiki mangsa dihimpit dua motosikal itu dan seorang suspek memakai topeng yang menaiki Toyota Camry melepaskan tembakan ke arah mangsa,” katanya.
Mangsa bagaimanapun selamat selepas nekad mengundurkan kenderaan dan memasuki Lebuh raya ELITE semula bagi menyelamatkan diri. Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kenderaan yang dinaiki, Toyota Fortuner berkenaan kalis peluru.
“Polis kini sedang giat mengesan semua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api dan Penalti Berat 1971,” katanya.