LANGKAWI: Klip video dipercayai menunjukkan insiden pergaduhan antara pemandu bot dan sekumpulan pelancong warga Arab di sebuah pangkalan nelayan di sini semalam, dikesan tersebar luas di media sosial.
Pergaduhan yang dirakam selama satu minit 14 saat itu dipercayai berlaku sejurus bot yang membawa pelancong menjelajah pulau sekitar perairan Tanjung Rhu.
Keadaan dilihat semakin tegang apabila seorang rakan pemandu bot terbabit yang cuba menyuraikan pergaduhan, dilihat memegang sebatang spanar.
Bagaimanapun, spanar itu dirampas seorang individu atas bot berkenaan bagi mengelak kejadian lebih buruk. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan kejadian itu.
“Tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu,” katanya.