SUBANG JAYA: Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes cuba melarikan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di USJ 23 Putra Heights di sini, 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata suspek yang diburu adalah saki-baki kumpulan samun dan pecah ATM dikenali sebagai `Geng Wan’.
Suspek pertama ialah Mohd Rahemi Rahmat manakala rakannya dikenali sebagai Norsofi Ruslan, kedua-duanya berusia 30 tahun. Mohd Azlin berkata, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan perancang jenayah itu yang juga sepasang adik beradik.
“Kita sudah menahan enam individu termasuk dua adik beradik berusia 30 dan 40 tahun menerusi beberapa siri serbuan di Selangor dan Pulau Pinang.
“Tangkapan termasuk seorang wanita tetapi hanya empat suspek didapati positif terbabit dalam kes ini, manakala dua lagi termasuk wanita berkenaan dibebaskan,” katanya pada sidang media di sini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 pagi itu, suspek dikesan mengundurkan sebuah lori kecil lalu merempuh dinding kaca stesen minyak berkenaan ke arah dua mesin ATM.
Kejadian disedari pekerja yang bersahur dan segera melaporkannya pada polis. Pasukan polis peronda (MPV) yang tiba di tempat kejadian dua minit kemudian melihat lima suspek bertempiaran cuba melarikan diri dengan dua daripadanya menaiki sebuah van.
Anggota MPV yang mengejar van berkenaan hingga Lebuhraya Damansara-Puchong menghala Shah Alam terpaksa melepaskan dua das tembakan dan terkena tayar van apabila suspek cuba menghimpit kenderaan polis.
Van itu melanggar pembahagi jalan lalu. Seorang suspek dapat ditangkap manakala seorang meloloskan diri.