Petaling Jaya: Tiga lelaki warga asing yang menjual rokok seludup menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku memiliki bahan larangan import berkenaan di premis mereka dalam satu serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Bangladesh iaitu Foiez Ullah, 23, dan Hanif Patorye Abdul Razzak, 31, serta warga Indonesia, Muzakir, 39.
Salamiah dalam penghakimannya turut memerintahkan tertuduh masing-masing membayar denda RM1,500, RM800 dan RM1,300 atau berhadapan hukuman penjara dua bulan.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 dalam Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan berasingan dalam Ops Outlet pada Isnin lalu di Seri Kembangan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dalam serbuan 25 Julai lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari, Muzakir berasal dari Aceh dituduh memiliki 65 paket atau 1,196 rokok pelbagai jenama di premis jagaannya di B-G-28 Jalan SP 5/3 Seksyen 5 Taman Serdang Perdana.
Dia dituduh memiliki rokok jenama antaranya John, Marlboro Firm Filter dan Gold Lights, Luffman, Canyon, Fort dan kretek Sampoerna Mild, Dji Sam Soe, Aston Absolute Vlue dan L.A Menthol Light.
Pada jam 1.30 tengah hari sama, Foiez pula didapati memiliki 100 paket rokok jenama U2 Full Flavour, Marlboro Gold Lights dan John 16G ditaksirkan bernilai RM120 yang dilarang pengimportannya di premis perniagaan iaitu Green Rose Resources Sdn Bhd, di No 33 Jalan SP/55, Taman Serdang Perdana.
Bagi tertuduh ketiga, Hanif, 31, didakwa memiliki 38 paket rokok pelbagai jenis rokok bernilai RM64.08 di Rahimah Enterprise Sdn Bhd A-G-26 Jalan SP 5/2, Taman Serdang Perdana, jam 12.30 tengah hari, juga hari sama.
Berdasarkan siasatan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM mendapati semua tertuduh tiada dokumen untuk membuktikan rokok yang dirampas adalah diseludup.
Mereka juga mengetahui bahawa rokok yang ditemui di premis perniagaan itu adalah rokok yang diimport secara tidak sah.
Ketiga-tiga tertuduh mengemukakan untuk meringankan hukuman kerana melakukan kesalahan buat kali pertama, namun rayuan itu ditolak majistret.
Prosiding kes dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bahagian Penguatkuasaan Selangor, Penguasa Kastam Mohamad Syafiq Abdul Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.