JERTIH: Kira-kira 80 pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah restoran terkenal di bandar ini, kelam kabut menyelamatkan diri apabila terhidu gas yang dipercayai bocor dalam kebakaran di restoran berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pelanggan restoran berkenaan dikatakan sedang menjamu selera sebelum dikejutkan dengan jeritan tukang masak akibat kebakaran di dapur premis terbabit.
Pengurus restoran itu, Mohd Zulkifli Mat Hussin, 33, berkata kejadian dipercayai berpunca dari kebocoran gas memasak di bahagian dapur premisnya terbabit.
Katanya, beliau hanya menyedari kejadian itu apabila terhidu bau gas dan terdengar bunyi desiran angin sebelum mengarahkan pekerjanya dan pelanggan menyelamatkan diri.
“Pada ketika itu, api sudah mula menyambar sebahagian dapur restoran sebelum saya menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadamkan kebakaran.
“Kecekapan pasukan bomba dan penyelamat yang pantas bertindak berjaya menyelamatkan keseluruhan restoran berkenaan daripada musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Zulkifli berkata, kejadian itu hanya menyebabkan bahagian dapur sahaja musnah terbakar.
“Saya bersyukur kerana tindakan pelanggan yang cepat keluar menyelamatkan diri memudahkan pihak bomba mengawal kebakaran daripada merebak dan kejadian tidak membabitkan kecederaan mahu pun kemalangan jiwa,” katanya.