SUNGAI PETANI: Sebuah kedai emas di Jalan Pengkalan di sini, kerugian kira-kira RM800,000 selepas dipercayai dirompak tiga lelaki dalam kejadian, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Kejadian hanya disedari seorang pekerja kedai emas terbabit apabila dia melihat bumbung siling bahagian tengah premis terbabit berlubang ketika masuk bekerja.
Pekerja berusia 19 tahun itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, dekat sini. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Md Zukir Md Isa, berkata melalui laporan dibuat pekerja terbabit, dia hanya menyedari kedai emas itu diceroboh apabila masuk ke premis berkenaan.
“Pengadu berkata dia menyedari bumbung siling bahagian tengah kedai berlubang sewaktu dia masuk ke kedai emas itu pada jam 10 pagi.
“Pengadu turut melakukan pemeriksaan di dalam sebuah bilik di dalam premis yang sama dan mendapati dinding sebuah peti besi yang mengandungi barangan kemas juga dipotong dan semua barangan kemas sudah dilarikan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Md Zukir berkata, pengadu juga mendapati siling di bahagian pejabat berlubang. Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu dilakukan oleh dua hingga tiga suspek.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.