Shah Alam: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai viral dua keluarga pelajar yang mendakwa anak mereka dipukul anggota polis ketika ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Klang, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian Rabu minggu lalu, pihaknya menerima laporan kes pergaduhan antara dua kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah dan SMK Tengku Ampuan Jemaah.
“Ia kemudian membawa kepada penahanan seramai 11 pelajar berusia 14 tahun pada Jumaat dan Sabtu lalu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
“Namun, kita menerima laporan polis daripada dua keluarga pelajar itu yang mendakwa dikasari dan dipukul polis ketika penahanan dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Menurut beliau, polis setakat ini merekodkan keterangan lapan saksi termasuk individu yang menguruskan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.