IPOH: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengawal keselamatan berusia 35 tahun di tempat meletak kenderaan di sebuah rumah di Laluan Temenggong, Pasir Putih awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata dua suspek berusia 30 dan 31 tahun itu ditahan di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Menglembu, jam 3 petang semalam.
Katanya, kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. “Seorang suspek berusia 30 tahun beralamat di Bandar Baru Menglembu manakala seorang lagi berusia 31 tahun beralamat di Taman Sunlight di sini,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian jam 7.38 pagi Rabu lalu, mangsa D D Raymond, 35, berasal dari Buntong, di sini, dan seorang lagi rakannya parah ditetak di tangan selepas diserang sekumpulan enam lelaki di sebuah restoran di Pasir Puteh.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa daripada orang awam yang melalui kawasan itu pada jam 7.38 pagi.