Sungai Buloh: Sebuah rumah kongsi di Jalan U5/95, Subang Bistari, di sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9.15 pagi, penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.
Difahamkan, ketika kejadian, semua penghuni dipercayai sudah keluar bekerja sebelum kebakaran disedari orang awam.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.48 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan lokasi.
“Seramai lima anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi dengan sebuah jentera.
“Setibanya anggota di lokasi, kebakaran didapati membabitkan rumah kongsi diperbuat daripada papan dan zink,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, anggota bertindak pantas memadamkan kebakaran bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.
“Api marak dengan pantas kerana rumah kongsi berkenaan diperbuat dari bahan mudah terbakar.
“Kebakaran berjaya dikawal 15 minit kemudian dan memusnahkan keseluruhan rumah kongsi berkenaan,” katanya.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.