Baling: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika mandi-manda di kolam air panas Ulu Legong, di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam apabila mangsa, Muhammad Ikram Aqil Zamzaini, 5, ditemui tidak sedarkan diri oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, polis menerima panggilan daripada keluarga mangsa mengenai kejadian itu pada 1.45 pagi.
Beliau berkata, bapa mangsa membuat laporan mengatakan anaknya dijumpai oleh orang awam yang mandi di kolam itu dalam keadaan tidak sedar diri.
“Pihak polis menghubungi Hospital Baling sebelum pasukan perubatan pergike tempat kejadian dan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Shariffuddin berkata, mangsa dihantar ke HB untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat lemas
“Pada mulanya keluarga mangsa enggan membuat bedah siasat dan doktor hanya melakukan ujian X-ray sahaja tetapi selepas perbincangan akhirnya mangsa dibedah siasat, awal pagi ini.
“Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarga dan dibawa pulang ke kampung halaman di Kuala Nerang,” katanya.