KUALA LUMPUR: Bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta hingga mengakibatkan tiga orang rentung di Kilometer (KM) 447.7 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Hospital Sungai Buloh, malam tadi, dipercayai dipandu laju.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila bas berkenaan hilang kawalan lalu melanggar kereta di hadapannya menyebabkan kenderaan itu melintang di tengah lebuh raya.
“Pemandu bas tidak dapat mengelak kereta yang melintang itu dan kemudian sekali lagi merempuhnya hingga kenderaan itu terperosok di bawah bas lalu. “Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan, bas dan kereta terbakar,” katanya ketika dihubungi BH.
Dalam kejadian jam 8.23 malam itu, tiga mangsa di dalam kereta iaitu pemandu, penumpang hadapan dan belakang sebuah ditemui rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar.
Turut terbakar, bas ekspres berkenaan namun, semua 15 penumpang dan seorang pemandu dilaporkan selamat. Identiti mangsa yang rentung setakat ini masih belum diketahui tetapi, dipercayai orang dewasa dan semua mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.