SHAH ALAM: Sekumpulan lelaki bertindak nekad menetak dan menembak tiga penduduk flat Kem Rimba, Seksyen 16 di sini, selepas cubaan mencuri motosikal dihalang penduduk terbabit semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 3.50 pagi mengenai tiga mangsa itu dikatakan diserang suspek yang tidak berpuas hati selepas perbuatan seorang daripada mereka mencuri motosikal di flat berkenaan disedari penduduk.
Shafien berkata, terdahulu seorang lelaki dilihat tiga penduduk di kawasan berkenaan cuba melarikan motosikal sebelum suspek dikejar.
Bagaimanapun, katanya, suspek kemudian datang semula di kawasan itu bersama-sama sekumpulan lelaki sebelum menyerang tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan.
“Mangsa pertama yang berusia 53 tahun parah akibat terkena tembakan di pinggang selain ditetak kepala manakala mangsa kedua yang berusia 66 tahun juga ditetak kepala.
“Seorang pemuda berusia 22 tahun pula parah kaki kanan dan ketiga-tiga mereka kini dirawat di hospital serta dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.