Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Buru Pasangan Suami Isteri Kes Dera Adik Kandung

$
0
0

Logo PDRM

 

PASIR GUDANG – Polis sedang giat memburu seorang wanita dan lelaki dipercayai mendera seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga adik kandungnya di sebuah perkampungan pedalaman sebuah ladang di Kong Kong Masai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, remaja berkenaan ditemui seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya di sebuah surau di kawasan Kampung Desa Mewah, Sungai Penderam, Seri Alam kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan melarikan diri dari rumah selepas tidak tahan sering didera oleh kakak dan abang iparnya yang telah menjaganya sejak umur lima tahun selepas kematian bapanya.

“Mangsa mengadu telah lama didera kakak dan abang iparnya selepas wanita yang menemui mangsa mendapati terdapat kesan lecuran daripada air panas, parut-parut luka dan kesan lebam di kebanyakan bahagian anggota badan.

“Polis sedang giat memburu suspek kerana telah melarikan diri dan tidak pulang ke rumah selepas tindakannya mendera darah daging sendiri terbongkar,” katanya.

Jokhiri berkata, mangsa yang merupakan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik telah dihantar untuk pemeriksaan dan rawatan serta di bawah kawalan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas membuat laporan polis.

Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan stabil di bawah pemerhatian Pakar Rawatan Kanak-Kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

“Kita sedang menjalankan siasatan mengikut Sensyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082