JERANTUT – “Al-Quran sahaja yang tak terbakar, yang lain semua habis” kata seorang peniaga kedai makan apabila dirinya hanya tinggal sehelai sepinggang setelah keseluruhan rumahnya hangus dalam satu kejadian kebakaran, di Kampung Batu 1, di sini, sekitar jam 6 pagi semalam.
Difahamkan sederet tiga unit rumah sewa dan sebuah rumah milik peniaga kedai makan berkenaan keseluruhannya terbakar dalam kejadian yang berlaku selama sekitar 20 minit itu.
Pemilik kedai makan terbabit, Roslan Deris, 44, berkata, ketika kejadian dia sedang membuat persiapan memasak untuk berniaga di kedai makannya yang terletak di hadapan rumahnya.
“Ketika sedang masak, saya dengar jiran beritahu rumah terbakar. Masa itu saya cuba padam kebakaran menggunakan pemadan api tetapi tak berjaya kerana ketika itu api sudah marak dan asap terlalu tebal,” katanya.
Menurutnya, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dalam kejadian terbabit namun terkejut apabila mendapati senaskah Al-Quran di rumahnya tidak terbakar.
“Dokumen penting, peralatan rumah dan elektrik semua musnah. Tak ada apa yang tinggal termasuk sebuah motosikal.
“Saya menganggarkan kerugian bagi keseluruhan kemusnahan termasuk wang tunai dan barang kemas sekitar RM80,000,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bagaimanapun bersyukur kerana dirinya dan beberapa orang jiran yang menyewa bersebelahan rumahnya termasuk enam kanak-kanak terselamat dalam kejadian terbabit.
Katanya, dia tinggal bersendirian di rumahnya manakala isterinya berada di Kuala Lumpur sementara empat anaknya berada di asrama.
Roslan yang kehilangan tempat berteduh dan hanya mengenakan sehelai t-shirt dan kain pelekat ketika ditemui merancang untuk tinggal di rumah adik beradiknya yang berada di sekitar daerah ini untuk sementara waktu.
Sementara itu, Ahli Parlimen, Ahmad Nazlan Idris yang menziarahi tempat kejadian pagi tadi turut menghulurkan sumbangan kecemasan bernilai RM1,000, bantuan makanan dan pakaian terpakai kepada empat buah keluarga terbabit.
“Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan cuba membantu keluarga ini kerana kebanyakan mangsa ini merupakan penduduk yang susah supaya kembali selesa dalam tempoh pemulihan akibat kejadian ini,” katanya.
Tambahnya, Pejabat Parlimen Jerantut juga akan membantu menyumbangkan pakaian seragam dan peralatan belajar bagi kanak-kanak mangsa yang masih bersekolah selain turut menyumbangkan barangan untuk penginapan sementara kesemua mangsa yang dikatakan menetap di penempatan sementara seperti di rumah saudara mara untuk sementara waktu.