PUTRAJAYA: Pemilik kedai emas di Presint Diplomatik di sini, kerugian RM30,000 selepas premisnya dirompak tiga lelaki bersenjatakan tukul besi dan penyembur lada, semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang, tiga lelaki yang memakai topi keledar memasuki premis sebelum memecahkan cermin pameran dan menyembur penyembur lada.
“Suspek mengarahkan tiga pekerja yang berada di premis terbabit tidak melawan. “Seorang daripada suspek memecahkan cermin manakala seorang lagi mengutip emas di dalam tiga dulang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Rosly berkata, ketiga-tiga suspek disyaki berusia lingkungan 20-an kemudian melarikan diri melalui sebuah restoran bersebelahan kedai emas terbabit dan menuju ke laluan belakang kedai.
“Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard diletakkan di laluan belakang premis terbabit yang kemudian digunakan suspek untuk melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, seorang daripada suspek juga dipercayai cedera pada tangannya akibat terkena kaca cermin pameran yang dipecahkan.
“Siasatan lanjut juga mendapati premis terbabit mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.