KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh bapa saudaranya ketika memburu di Hutan Rigi berhampiran Kampung Saradan di Tenghilan, Tuaran, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata mangsa berusia 42 tahun itu bersama bapa saudaranya bergerak berasingan di hutan dalam kejadian kira-kira jam 7 malam.
“Mereka dipercayai berpecah dan bergerak bersendirian untuk memburu payau (rusa) menggunakan senapang buatan sendiri atau ‘bakakuk’.
“Ketika memburu, mangsa terkena tembakan di dada yang dipercayai dilepaskan bapa saudaranya hingga mengakibatkan kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tuaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Salehhudin berkata, laporan polis dibuat adik mangsa kira-kira jam 9.30 malam tadi manakala suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran jam 10 malam tadi,” katanya.
Beliau berkata, polis merampas dua laras bakakuk yang dipercayai digunakan suspek dan mangsa ketika memburu. “Suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” katanya.