KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyelesaikan 49 kes penipuan Macau Scam dengan nilai kerugian RM2.1 juta, susulan penahan 97 individu dalam serbuan di Pulau Pinang, minggu lalu.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata semua kes itu membabitkan mangsa rakyat tempatan yang diperdaya sindiket berkenaan dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai Bank Negara dan bank tempatan untuk mendapatkan wang.
“Pada 17 Ogos lalu, JSJK Bukit Aman bersama polis Pulau Pinang menyerbu tiga kilang dan sebuah banglo di Juru dan Prai, Pulau Pinang, yang dijadikan markas sindiket penipuan Macau Scam, hasil risikan yang dilakukan selama tiga bulan.
“Dalam serbuan itu, 87 warga China, termasuk 22 wanita, sembilan lelaki tempatan dan seorang lelaki Taiwan berusia antara 20-an dan 30-an ditahan. Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer, telefon, peranti sokongan serta empat buah kereta yang dianggarkan bernilai RM400,000.
“Semakan dengan syarikat telekomunikasi mendapati nombor telefon digunakan sindiket sama dengan nombor telefon yang digunakan sindiket untuk menghubungi mangsa bagi urusan transaksi pembayaran di bank tempatan,” katanya.
Acryl Sani berkata, siasatan turut mendedahkan sindiket beroperasi sejak tahun lalu dengan menjadikan kilang berkenaan sebagai pusat operasi, manakala banglo didiami penyelia sindiket.
Katanya, siasatan lanjut mendapati semua ahli sindiket warga China ‘dikurung’ di dalam kilang itu dan memperoleh bekalan makanan melalui individu yang datang menghantarnya menggunakan kereta.
“Semua suspek warga China didapati masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan mereka dipercayai diberi latihan di negara itu sebelum dibawa ke sini.
“Sehubungan itu, kita akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan juga pihak kedutaan bagi menyiasat mengenai perkara ini. Kita juga percaya ada saki baki anggota sindiket dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan,” katanya.
Terdahulu, sindiket dikesan menjalankan aktiviti penipuan melalui telefon menggunakan kaedah ‘spoofing’ iaitu satu platform voice over internet protocol (VOIP) untuk memperdaya mangsa.
Sindiket memperdaya dengan menelefon mangsa memberitahu kononnya ahli keluarga mereka terbabit dengan masalah undang-undang atau perbankan dan perlu membayar sejumlah wang atau memindahkan wang bagi menyelesaikan masalah itu.