Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

2 Lelaki Dipercayai Larikan Remaja Perempuan Di Taman Lembah Keramat

$
0
0

takut-dimarahi-karena-belum-menikah-pria-culik-wanita-untuk-dijadikan-istri

 

AMPANG JAYA: Seorang remaja perempuan dilaporkan dilarikan dua lelaki menaiki sebuah kereta di persimpangan Jalan AU5C/7 Taman Lembah Keramat di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, mangsa yang belum dapat dipastikan identitinya dikatakan sedang berjalan kaki sebelum seorang individu di dalam kereta menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.

Mangsa yang dilihat memakai tudung berwarna merah sempat dan berseluar putih menjerit meminta tolong namun penduduk di kejiranan itu tidak sempat berbuat apa-apa untuk membantunya kerana kejadian berlaku amat pantas.

Seorang saksi dikenali sebagai Samsiah Osman, 74, berkata dia kebetulan berada di luar rumah sebelum mendengar suara mangsa menjerit. “Saya dengar suara orang menjerit minta tolong dan bila saya intai dari celah pagar, saya nampak seseorang menarik budak (mangsa) ke dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang.

“Saya kemudian jerit panggil suami supaya menghubungi polis dan kereta berkenaan terus memecut,” katanya ketika ditemui pemberita, sebentar tadi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian itu.

“Namun kita hanya menerima laporan daripada penduduk di situ dan belum ada laporan diterima daripada keluarga mangsa. “Kita masih menjalankan siasatan sama ada ia benar kes culik atau ia hanya berpunca daripada pergaduhan antara teman lelaki dengan teman wanitanya,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Justeru, katanya, orang ramai yang ada maklumat kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga, diminta tampil ke mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

Kejadian itu menjadi viral di media sosial selepas perkara itu dikongsikan penduduk Taman Lembah Keramat melalui kumpulan komuniti WhatsApp kejiranan itu.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082