KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di Suria Residensi, Salak Selatan, di sini, petang semalam.
Ketika ditemui kira-kira jam 2.15 petang di depan kediaman penduduk, bayi cukup sifat itu hanya dibaluti dengan baju sejuk dan dipercayai baru beberapa hari dilahirkan.
Penduduk kemudian menghubungi polis sebelum bayi itu diselamatkan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk pemeriksaan dan rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi itu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ibu bapa bayi itu termasuk membuat semakan di klinik dan hospital berdekatan.