KOTA BHARU: Seorang pemuda cedera di betis kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan di sebuah restoran di Kampung Bunut Payong, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 2.15 pagi itu, seorang daripada tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Mercedes Compressor keluar dari kereta terbabit dan melepaskan dua das tembakan ke arah pengunjung di dalam restortan berkenaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata satu das tembakan dari senjata jenis Revolver itu mengenai seorang pengunjung dan mangsa yang berusia 22 tahun itu kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
“Tembakan itu dilepaskan dari jarak 10 meter dan semua suspek melarikan diri ke arah Pasir Hor. “Hasil pemeriksaan, polis menemui satu peluru di lantai restoran dan satu lagi terkena pada kenderaan jenis Honda Jazz,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kota Bharu, di sini.
Ab Rahman berkata, pihaknya kini sedang memburu semua suspek berdasarkan maklumat daripada 20 saksi yang berada di lokasi ketika itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1970 (penalti lebih berat) yang boleh membawa kepada hukuman mati.