Georgetown: Lelaki yang cedera terkena tembakan sempat melarikan diri manakala tiga rakannya ditahan polis selepas kereta dinaiki terbabas di kawasan perumahan di Solok Sungai Pinang di sini, hari ini.
Dalam kejadian 5.30 pagi itu, polis terpaksa melepaskan lima das tembakan selepas pemandu kereta terbabit enggan menghentikan kenderaannya.
Menurut sumber, polis mengejar kereta terbabit dari Jalan Datuk Keramat hingga ke Sungai Pinang namun pemandunya enggan berhenti dan turut merempuh kereta peronda.
“Bagaimanapun, ketika tiba di kawasan perumahan kereta dinaiki mereka terbabas dan seorang daripada suspek yang juga pemandu kereta itu meloloskan diri.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah dalam kereta berkenaan dan polis percaya suspek yang melarikan diri itu terkena tembakan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal juga mendapati kereta yang dinaiki mereka adalah kereta curi dan polis masih memburu suspek yang melarikan diri.