Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Suspek Amuk Adalah Anak Angkat, Penagih Dadah Tegar

$
0
0

suspek

 

MELAKA: Suspek kes amuk yang membunuh tiga sekeluarga, selain dua parah dan seorang cedera ringan dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang juga anak angkat keluarga berkenaan, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi semalam, suspek yang berusia 28 tahun tahun dipercayai mengelar lima mangsa di dalam rumah di Kampung Bertam Malim, di sini.

Beliau berkata, setakat ini, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan yang terdiri daripada sepasang suami isteri, Hassan A Wahab, 70, Mariah Baharin, 62, yang juga Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu serta anak lelaki mangsa, Mohd Taufeq, 22.

Beliau berkata, dua lagi mangsa, Nor Aslinda, 27, dan Nor Aqida, 24, cedera parah di bahagian bahu ke atas manakala, seorang lagi wanita, Siti Khatijah Mohamad, 80, mengalami kecederaan ringan.

“Polis menerima maklumat kira-kira jam 7 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Kita sedang siasat motif pembunuhan namun suspek dipercayai ahli keluarga yang tinggal bersama dalam rumah ini.

“Kita sudah mengenal pasti suspek, lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai penagih dadah tegar yang mempunyai rekod dadah,” katanya pada sidang media, di sini. Dalam pada itu, Ramli turut mengesahkan suspek sudah ditahan di perkarangan Masjid Al-Falah, Batu 6 1/2, Bukit Rambai, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai terutama apabila mayat tiga sekeluarga mula dikeluarkan dari kawasan rumah mereka kira-kira jam 12.20 tengah hari. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Melaka, di sini, untuk bedah siasat.

Tinjauan BH di perkarangan Masjid Al-Falah, sejurus selepas kejadian mendapati sepasukan forensik giat menjalankan siasatan, selain kelihatan sebuah kereta Perodua MYVI dipercayai dipandu suspek di parkir di bahagian belakang masjid berkenaan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082