Image may be NSFW.
Clik here to view.
KUANTAN: Kanak-kanak lelaki, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang seminggu lalu, ditemui tidak bermaya selepas polis menyerbu sebuah bilik sewa rumah teres dua tingkat di Lorong Mat Kilau 15, di sini, awal pagi semalam.
Berikutan penemuan itu, dua beranak berusia 37 dan 20 tahun ditahan selepas dipercayai menculik dan mengurung kanak-kanak berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata dalam serbuan jam 2.20 pagi, wanita dan anak lelakinya itu ditahan selepas polis yang melakukan pemeriksaan dalam bilik sewa berkenaan, menemui mangsa dalam keadaan lemah.
Katanya, suspek enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu bilik apabila diarah berbuat demikian menyebabkan anggotanya memecah masuk sebelum menahan suspek bersama anak sulungnya.
“Mangsa mendakwa dia tidak dibenarkan keluar dari rumah berkenaan. Suspek juga mengunci pintu bilik serta pintu jeriji dan mangsa hanya diberi makan roti,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata, Muhammad Amirul dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan pulang selepas didapati tidak cedera.
Katanya, polis turut menahan anak sulung suspek kira-kira jam 11 pagi semalam, di Jalan Penjara, di sini, untuk membantu siasatan dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Dua lagi anak suspek berusia 11 dan 15 tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan sementara,” katanya.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Mime Azura Mohd Noor, 33, ketika dihubungi, di sini, memaklumkan dia gembira kerana Muhammad Amirul Hakim atau lebih mesra dipanggil Mirul ditemui selamat.