LAHAD DATU: Lima sekeluarga maut termasuk tiga kanak-kanak, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 41, Ladang Bagahak, Jalan Tunku dekat sini, petang semalam.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, semua mangsa yang menaiki Proton Saga FLX dalam perjalanan dari arah Tunku menghala ke pusat bandar sebelum tiba di tempat kejadian dan bertembung dengan pacuan empat roda jenis Toyota Prado, yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Balai Bomba Lahad Datu, Mohamad Afandi Mahamod, berkata pihaknya menerima panggilan jam 2.59 petang sebelum tujuh anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai, empat penumpang didapati tersepit di dalam kereta Proton Saga dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun yang parah dikejarkan ke hospital.
“Empat lagi penumpang dalam kereta jenis pacuan empat roda Toyota Prado hanya cedera ringan, dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, seorang kanak-kanak yang cedera parah difahamkan telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. “Bagaimanapun, setakat ini identiti semua mangsa belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad mengesahkan kejadian itu.