KUALA LUMPUR: Pengerusi sebuah bank tempatan berpangkat ‘Tan Sri’ menjadi individu terbaru ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah bernilai RM15 juta membabitkan projek penerbitan buku biografi tokoh politik negara.
Susulan penahanannya, akaun peribadi beliau dan keluarganya yang berjumlah hampir RM1 juta turut dibekukan oleh SPRM. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi BH mengesahkan lelaki berusia 60-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 1.15 tengah hari kelmarin.
Azam berkata, Tan Sri itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku mengenai tokoh politik negara. “Dia (Tan Sri) ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut berikutan siasatan masih berjalan.
Sementara itu, sumber berkata, Tan Sri terbabit menjadi antara ahli jawatankuasa yang aktif dalam projek berkenaan, termasuk ketika dana berjumlah RM15 juta diluluskan.
“Penahanan individu itu penting untuk memantapkan siasatan rasuah susulan beberapa tangkapan sebelum ini, termasuk seorang berpangkat ‘Datuk’ yang juga pengarah urusan bank sama.
“Penahanan terbaru ini menjadikan 11 orang yang ditangkap setakat ini berhubung siasatan kes berkenaan. “Semua mereka dipercayai mempunyai peranan dalam projek penerbitan buku biografi itu.
“Siasatan awal mendapati Tan Sri terbabit ada peranan dalam kontrak itu,” katanya kepada BH. Khamis lalu, SPRM menahan seorang pengarah urusan bank berpangkat Datuk kerana disyaki terbabit dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku biografi tokoh politik negara.
Siasatan SPRM sebelum ini mendapati sebanyak RM15 juta diluluskan kepada sebuah syarikat penerbitan yang dipercayai milik individu yang mempunyai kepentingan dengan suspek berpangkat Datuk.
Susulan operasi itu, sebanyak RM10 juta daripada beberapa akaun, termasuk milik pengarah urusan bank turut dibekukan SPRM. “Adalah terlalu awal untuk menentukan akan ada tangkapan baharu berhubung kes itu,” katanya.