JERTIH: Seorang warga tua mati selepas dipukul oleh seorang lelaki yang dikenalinya di Tapak Pasar Pagi, Kampung Pengkalan Nyireh, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 9.15 pagi, mangsa Taib Salleh, 79, dari Kampung Air Tawar, Besut, tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang kemudian menumbuknya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata selepas dipukul, Taib pergi mengadu kepada anak tirinya mengenai kejadian itu dan mangsa muntah-muntah.
Katanya, mangsa kemudian dibawa anak tirinya ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk rawatan sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Besut, di sini. Sebaik tiba di hospital, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, katanya, polis mengesan suspek berusia 62 tahun yang tinggal di Taman Insan, Jalan Bukit Keluang, Kampung Raja untuk membantu siasatan. Mohd Zamri berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku ada menumbuk mangsa di tempat kejadian.
“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.