Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan di Lebuh raya Persekutuan berhampiran Menara Telekom, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.55 pagi itu, mangsa yang juga anak anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Zulkifli Lee Abdullah, Muhammad Zaifulikram, 21, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku di lorong kiri iaitu menghala ke Petaling Jaya.
“Pemandu kenderaan 4WD model Mitsubishi Triton dikatakan melanggar belakang motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Shafie berkata, berdasarkan ujian alkohol terhadap pemandu kenderaan 4WD berusia 33 tahun itu mendapati dia positif ujian berkenaan.
“Kenderaan terbabit dalam kemalangan ini dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
“Malah, keterangan daripada waris mangsa sudah diambil termasuk pemandu kenderaan 4WD berkenaan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.