Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Warga Emas Dituduh Bersubahat Pecah Amanah Bersama Peguam Membabitkan RM10 Juta

$
0
0

mahkamah1-1

 

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas dakwaan bersubahat dengan seorang peguam, melakukan pecah amanah membabitkan deposit pembelian tanah melebihi RM10 juta.

Pengarah Syarikat City Centre Sdn Bhd, Cheah Theam Kheng, 85, yang kelihatan keliru ketika jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas dakwaan itu.

Theam Kheng beberapa kali mempersoalkan pertuduhan itu dan diperjelaskan oleh jurubahasa sebelum membuat pengakuan.

Dia didakwa melakukan pecah amanah wang pembayaran balik deposit berjumlah RM10,354,663.16 yang diamanahkan daripada Syarikat Beyond Hallmark Sdn Bhd kepadanya untuk pembelian tanah syarikat City Centre seperti dalam memorandum perjanjian bertarikh 20 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di firma guaman Tetuan Megat Najmuddin Leong & Co, 102 Jalan Bangsar di sini, antara 11 Disember 2014 dan 16 Januari 2015, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin tetapi tertuduh yang tidak diwakili memohon jumlah dikurangkan kerana hanya mempunyai RM20,000.

Tertuduh turut memberi alasan bekerjasama sepenuhnya dan menyerah diri di balai polis Seri Petaling pagi tadi untuk dibawa ke mahkamah.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selepas menimbangkan tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport ke mahkamah. Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini bagi sebutan kes.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082